Isnin, 19 Oktober 2009

Sejarah Sekolah

SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN RANTAU PANJAI KAPIT

Sekolah ini didirikan pada tahun 1980 oleh ahli Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh penduduk tujuh buah rumah panjang di sepanjang Sungai Bena dan sebuah rumah panjang di Hulu Sungai Entawau dibawah nasihat Pegawai Pendidikan Bahagian Kapit ketika itu, iaitu Encik Jete Ambin. Pengerusi Jawatankuasa pada masa itu ialah Encik Sipang Ak Langgong.
Pembinaan sekolah ini adalah dilakukan secara bergotong royong oleh penduduk-penduduk di ketujuh buah rumah panjang terdiri daripada Rumah Irang, Rumah Sipang, Rumah Achan A, Rumah Achan B, Rumah Pengabang, Rumah Mamut dan Rumah Tedong. Bangunan sekolah dibuat daripada kayu bulat dan tidak bergergaji, dinding daripada buluh dan berlantaikan tanah.Semua bahan binaan disediakan oleh penduduk-penduduk rumah panjang yang menjadi pengisi kepada enrolmen sekolah. Pihak Jabatan Pendidikan Bahagian Kapit hanya membantu dengan atap zink dan paku. Sekolah ini dibina di sebuah tapak yang berlokasi di Rantau Panjai yang mana sungai di tempat itu amat cetik , deras dan panjang dan memerlukan pengguna sungai menarik perahu untuk meneruskan perjalanan melepasi kawasan ini yang amat meletihkan. Tempat ini dipilih memandangkan ianya adalah satu lokasi yang terletak di pertengahan jarak penghuni rumah panjang dari hulu Sungai Bena dan yang dari hilir Sungai Bena dan dilihat sebagai adil bagi semua pihak untuk menghantar anak mereka ke sekolah nanti. Jestru itu sekolah didirikan di tapak ini dan sempena nama tempat ini sekolah diberi nama Sekolah Kebangsaan Rantau Panjai. Kawasan sekolah ini amat terpencil dan jauh dari rumah-rumah panjang.
Sekolah ini mula beroperasi pada 5 Januari 1981. Guru Besar pertama sekolah ini ialah Encik Tujang Ak. Balang. Sekolah bermula dengan hanya dua buah kelas dan 48 orang murid. Guru pada masa itu hanya dua orang, ia itu Cikgu Ali Ak.Ungkong dan Guru Besar. Tukang Masak pada masa itu ialah Cik Basi Ak. Langgong . Sekolah ini beroperasi dengan hanya tiga orang kakitangan , seorang Guru Besar, seorang guru biasa dan seorang tukang masak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan